Naib Presiden, Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kukuh pada minggu-minggu akan datang, mengatasi bursa serantau lain semasa tempoh tidak menentu seperti yang ia lakukan pada lewat 2011.
"Meskipun begitu, kami percaya apa yang dicatatkan pasaran minggu lepas adalah bukti jelas "berita buruk antarabangsa adalah berita baik tempatan" dan persepsi global yang semakin mengukuh terhadap Malaysia sebagai tempat selamat semasa tempoh tidak menentu," katanya.
Nazri berkata, penjualan serantau menyebabkan pelabur menggilirkan wang daripada pasaran sedang pesat membangun utama kepada pasaran sedang pesat membangun sederhana, termasuk Malaysia dan Filipina.
"Memandangkan paras 1,600 sudah dilepasi, saham Malaysia dijangka terus mencatatkan prestasi baik minggu depan menuju ke arah paras tertinggi baharu pada 1,620, apabila lebih ramai pelabur asing bertaruh kepada saham pulangan tinggi di Bursa Malaysia," katanya.
Selain itu, pasaran tempatan sepatutnya juga mendapat sokongan daripada pilihan raya umum yang bakal menjelang dan apungan IPO mega tempatan FELDA Global Ventures and Integrated Healthcare.
"Peniaga berpendapat bahawa menjelang pilihan raya ini, akan ada sokongan kerajaan dan pengumpulan institusi bagi IPO mega yang secara teorinya akan menyokong pasaran saham tempatan," katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir ini, pasaran kekal berada dalam segmen positif, melepasi paras 1,600 mata, meskipun penurunan di pasaran serantau berikutan kebimbangan yang tercetus semula akan sentimen pasaran global yang lemah.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak antara paras penutup 1,582.73 dan 1,604.39.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FTSE Bursa Malaysia KLCI naik 22.1 mata kepada 1,603.07 berbanding 1,579.23 pada Jumaat minggu sebelumnya.
Indeks Kewangan menambah 126.7 mata kepada 14,254.05, Indeks Perladangan meningkat 79.2 mata kepada 8,506.63 dan Indeks Perusahaan turun 325.3 mata kepada 2,823.64.
Indeks FBM Emas melonjak 174.1 mata kepada 10,956.82, Indeks FBM ACE naik 108.3 mata kepada 4,309.60 dan Indeks FBM Mid 70 melonjak 262.3 mata kepada 12,048.06.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 4.848 bilion saham bernilai RM6.437 bilion daripada 3.768 bilion saham bernilai RM7.207 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 3.369 bilion unit bernilai RM6.229 bilion berbanding dengan 2.778 bilion saham bernilai RM7.046 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE Market menambah kepada 708.342 juta saham bernilai RM132.955 juta daripada 632.319 juta saham bernilai RM108.536 juta pada minggu sebelumnya.
Waran menokok kepada 708.324 juta unit bernilai RM132.955 juta daripada 352.666 juta unit bernilai RM49.584 juta pada minggu sebelumnya. -
Credit to BERNAMA & BH
No comments:
Post a Comment